Wednesday, July 20, 2016

Bayi 10 bulan terpaksa ambil pil Viagra setiap bulan

Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim mendukong Amanda, ketika melawatnya, diperhati oleh Raja Karipah.

SEGAMAT – Seorang bayi berusia 10 bulan dari Taman Suria, Buloh Kasap, di sini, terpaksa diberi empat pil viagra setiap bulan untuk rawatan jantung yang lemah dan berlubang.

Ibunya, Raja Karipah Raja Hamzah, 46, berkata, Nur Aafiyah Amanda Norhisham dilahirkan secara pembedahan ketika usia kandungannya 34 minggu pada 29 September lalu di sebuah pusat kesihatan.

“Sehari selepas dilahirkan, Amanda dibawa ke pusat kesihatan di Johor Bahru kerana tidak membuang air besar sebelum dikesan mengalami masalah saluran usus.

“Pada usianya 20 hari, Amanda telah menjalani pembedahan usus dan ditahan di unit rawatan rapi neonatal selama empat bulan sebelum dipindahkan ke wad selama 30 hari,” katanya.


Nur Aafiyah Amanda terpaksa bergantung kepada mesin oksigen setiap masa.

Katanya, dia juga tidak pernah memberikan anak bongsu daripada enam beradik itu susu ibu sejak dilahirkan kerana anaknya turut dikesan menghidap penyakit paru-paru dan tekanan jantung yang tinggi.

Katanya, Amanda juga terpaksa meminum susu melalui tiub yang dipasang melalui mulutnya selain terpaksa bergantung kepada mesin oksigen setiap masa yang disumbangkan oleh Baitulmal Segamat.

“Sebelum ini, saya dan suami terpaksa beli viagra di farmasi dengan harga RM38 sebiji untuk diberikan kepadanya melalui saluran tiub getah bagi memastikan jantungnya sentiasa berdegup.

“Ubat ini diberikan ikut saranan doktor, bagi mengatasi masalah tekanan jantung Amanda. Ia perlu diambil untuk membantu menguatkan sedikit jantungnya.

“Amanda perlukan empat biji viagra setiap bulan dan sebelum Ramadan lalu, dia terpaksa ditahan di pusat kesihatan selama 13 hari kerana paru-paru berkuman,” katanya.

Menurutnya, dia dan suaminya, Norhisham Othman, 45, juga turut mengubahsuai salah sebuah bilik di rumahnya dengan kos kira-kira RM2,000 khusus untuk Amanda, dilengkapi dengan pendingin udara bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Katanya, sebelum ini rumahnya beberapa kali mengalami masalah gangguan elektrik sehingga mengganggu Amanda. Dia berterima kasih kepada Ketua Umno Bahagian Segamat, Zahari Sarip yang menyumbang mesin alat penjana kuasa kepada mereka, baru-baru ini.

“Ketika hari raya baru-baru ini, hanya suami dan anak-anak lain yang pergi beraya dan saya berada di rumah jaga Amanda. Dia tidak boleh terlalu terdedah dengan orang ramai kerana dibimbangi mendapat jangkitan.

“Adik-beradik faham keadaan Amanda dan mereka teringin untuk bermain dan menciumnya dan kini pergerakan Amanda juga semakin aktif apabila dia mula untuk meniarap dan memberikan respons,” katanya.

Menurutnya, suaminya yang bekerja sendiri juga terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,100 untuk perubatan Amanda setiap bulan selain menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

INFO

Kisah bayi diberikan viagra sebelum ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebagai contoh portal berita Mirror, United Kingdom, pada tahun lalu pernah menyiarkan kisah pasangan Laura dan Dave Liggins yang terkejut apabila doktor memaklumkan nyawa bayi mereka mungkin boleh diselamatkan dengan viagra.

Ketika itu bayi yang masih dalam kandungan Laura, tidak membesar secara normal dan ibu muda itu berkemungkinan mengalami keguguran.


Laura bersama bayi perempuannya, Casey yang ketika dalam kandungan diberi viagra.

Bagaimanapun, pakar percaya dadah seks itu boleh meningkatkan pengaliran darah kepada bayi dalam kandungan bagi membolehkannya berada lebih lama dalam rahim sekali gus membesar lebih kuat dan mempunyai peluang survival lebih cerah selepas dilahirkan.

Ternyata usaha itu tidak sia-sia apabila seorang bayi perempuan, Casey kemudian dilahirkan.

Begitu pun, tidak dapat disahkan tahap kesihatan bayi itu sekarang, iaitu ketika berita ini diolah.

Sumber: The Mirror

http://ift.tt/29SRXQw