Wednesday, July 20, 2016

Piala Malaysia: Kelantan Bangkit Sekat Hajat Selangor

Juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor, dinafikan hajat mereka untuk memburu kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen Piala Malaysia musim ini apabila diikat Kelantan 3-3 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dikerah dengan penuh bersemangat oleh jurulatih, Velizar Popov, dari garisan tepi padang, Kelantan memanfaatkan serangan terakhir pada saat-saat penghujung masa kecederaan untuk Abdul Manaf Mamat menyumbat gol penyamaan pasukan pelawat.

Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-29 menerusi Mauro Olivi yang bijak bertindak ke atas situasi kelam-kabut yang berlaku di hadapan pintu gol Kelantan.

Berselang 10 minit, giliran Patrick Ronaldhino pula untuk mencatat nama selaku penjaring buat Gergasi Merah Kuning selepas berjaya melonjak tinggi bagi menanduk masuk hantaran Raimi Md Nor dengan mengatasi Norhafiz Zamani Misbah untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Peluang untuk Kelantan merapatkan jurang hadir pada hujung babak pertama selepas mendapat sepakan percuma di dalam kotak penalti dan Wander Luiz menyempurnakan peluang itu untuk menutup aksi babak pertama dengan kedudukan 2-1.

Bersambung dalam babak kedua, Ronaldhino sekali lagi memastikan Selangor terus melebarkan jurang jaringan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-49.

Hajat Ronaldhino untuk melengkapkan hatrik tidak kesampaian, malah dia dihukum dengan kad kuning kerana didakwa sengaja merebahkan badan untuk cuba mendapatkan sepakan penalti.

Kemasukan Wan Zack Haikal Wan Noor pada babak kedua nyata memberi kesan besar kepada corak permainan anak buah Popov. Wan Zack menggegar gawang tuan rumah hasil gerakan solonya di sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan melangkaui Norazlan Razali.

Tatkala Selangor menghitung detik untuk meraikan kemenangan kedua mereka, Abdul Manaf Mamat memusnahkan impian skuad Merah Kuning apabila menggunakan tempoh tujuh minit masa kecederaan untuk mengikat kedudukan perlawanan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pasukan yang sedang bergelut, Terengganu, mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi gol tunggal Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-49 untuk memastikan Sang Penyu meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen Piala Malaysia musim ini. – StadiumAstro