Wednesday, July 20, 2016

1MDB Sahkan Tidak Memiliki Sebarang Aset Di AS

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengesahkan pihaknya tidak memiliki aset di Amerika Syarikat serta tidak mempunyai sebarang manfaat daripada pelbagai transaksi dalam saman sivil yang didakwa difailkan Kerajaan Amerika Syarikat (AS).

1MDB dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya tidak dihubungi Jabatan Kehakiman AS atau mana-mana agensi asing lain berkaitan dalam siasatan mereka.

“1MDB maklum sidang media yang diketuai Peguam Negara Amerika Syarikat hari ini yang berkaitan dengan tindakan mahkamah sivil yang difailkan oleh Kerajaan Amerika Syarikat.

“1MDB menekankan bahawa ia bukan satu pihak kepada saman sivil itu, tidak mempunyai apa-apa aset di Amerika Syarikat, dan tidak mempunyai manfaat daripada pelbagai transaksi yang dinyatakan dalam saman sivil itu,” katanya dalam kenyataan itu.

Syarikat pelaburan strategik itu turut mengulangi pendirian akan memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa asing yang sah, tertakluk kepada protokol antarabangsa yang mengawal perkara itu dan nasihat daripada pihak berkuasa yang sah dalam negara berkenaan. – BH