Wednesday, July 20, 2016

Kedai 24 jam disamun

Kedai serbaneka 24 jam di Jalan Siakap, Bagan Serai, disamun dua lelaki bersenjatakan parang awal pagi semalam.
BAGAN SERAI – Sebuah kedai serbaneka 24 jam kerugian hampir RM1,000 selepas disamun dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Jalan Siakap, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.35 pagi itu, dua lelaki masuk ke kedai berkenaan dan berpura-pura mahu membeli barang.

Menurutnya, setibanya di kaunter, kedua-dua suspek itu segera mengeluarkan parang dan mengacukannya kepada dua pekerja kedai terbabit.

“Kedua-dua suspek kemudiannya bertindak melarikan dua telefon pintar milik mangsa, empat botol arak dan empat kotak rokok dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai dicuri.

“Berdasarkan keterangan mangsa, anggaran nilai keseluruhan barangan dicuri berjumlah RM974 dan kedua-dua mangsa bernasib baik kerana tidak diapa-apakan suspek,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek bertindak menyembunyikan parang di belakang baju dan tidak memakai topeng ketika kejadian.

Menurutnya, semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek turut mendapati kereta terbabit dilaporkan hilang di Perai, Pulau Pinang, malam kelmarin.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek bukan orang tempatan dan sudah mendapatkan kerjasama di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran untuk membantu menjejaki mereka.

“Siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

sumber:http://ift.tt/2agcC4u