Wednesday, July 20, 2016

DAP suka main ‘talak politik’

SHAH ALAM – Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang enggan membubarkan Dun selepas dikaitkan dengan dua pertuduhan rasuah sebelum ini seolah-olah seperti tidak menghargai mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) kepada kerajaan pimpinannya.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, keadaan ini memberikan tanggapan bahawa DAP selaku ketua kerajaan di negeri tersebut dengan sewenang-wenangnya boleh bermain tentang soal mandat dan pilihan raya.

“Dalam politik, mandat boleh diibaratkan sebagai ikrar atau akad perkahwinan, dan ancaman untuk membubarkan mandat yang diperolehi boleh diibaratkan sebagai “talak”.

“DAP ini parti yang suka bermain dengan ‘talak politik’, sudahlah Pas ditalakkan, kini seolah-olah DAP seperti mempermainkan talak dengan rakyat,”katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Sebelum ini, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Menurut Md Shukri, DAP dilihat mahu mempermainkan rakyat di negeri itu dengan menggunakan isu pembubaran Dun sebagai senjata bagi kes peribadi yang berkaitan sabitan mahkamah.

“Sepatutnya, Guan Eng yang kini memasuki penggal kedua sebagai Ketua Menteri harus matang dan jangan menggunakan status sebagai pemenang majoriti di Dun sebagai satu kelebihan untuk mengancam kedudukan undang-undang serta menggunakan pilihan raya dengan jalan yang salah dan tidak beretika,”katanya.

Dalam pada itu, Md Shukri memaklumkan bahawa langkah terbaik bagi Guan Eng pada masa ini adalah dengan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri dan Adun bagi memberi laluan kepada pemimpin DAP lain untuk menerajui negeri berkenaan.

Beliau berkata, PKR juga berkemungkinan boleh mengisi kedudukan Guan Eng dan calon yang sesuai untuk diangkat sebagai Ketua Menteri bagi mewakili masyarakat India adalah Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr P.Ramasamy.

“Biarlah DAP mencatatkan sejarah baharu politik negara dengan melantik seorang Ketua Menteri dari kelompok masyarakat India.

“Guan Eng seolah-olah seperti cuba untuk mempermainkan dan mewujudkan kebimbangan awam dan ini tidak bagus bagi pembangunan negeri,” katanya. -Sinar