Tuesday, July 19, 2016

Asyik Kejar Pokémon, Pemuda Ditahan Ceroboh Kem Askar

JAKARTA — Kegilaan mengejar Pikachu dan watak-watak lain dalam Pokémon Go makin menjadi-jadi, bukan di Amerika Syarikat tetapi di Indonesia.

Seorang pemuda Perancis, yang bertugas di sini, ditahan polis setelah menceroboh kem tentera Indonesia di Cirebon kelmarin ketika berkunjung ke bandar pesisir pantai itu.

Romain Pierre, 27, ditahan pada malam Isnin selepas melarikan diri apabila disergah pengawal keselamatan kem tentera darat Indonesia di kota ini, kira-kira 220 kilometer di tenggara Jakarta.

Pemuda itu bagaimanapun dilepaskan beberapa jam kemudian apabila didapati “tidak sengaja menceroboh kem tersebut kerana asyik mengejar Pokemon sambil berjoging”, kata polis seperti dilapor Associated Press semalam.

Permainan yang menjadi kegilaan ramai Pokémon Go, menggunakan peta Google dan telefon pintar, dilancarkan di Amerika Syarikat dan beberapa negara sejak awal bulan ini.

Ia belum dilancarkan di negara-negara Asia, termasuk Indonesia, secara rasmi tetapi sudah popular di republik ini.

Setiausaha kabinet Pramono Agung memberitahu wartawan minggu lalu bahawa beliau sendiri berjaya menangkap beberapa Pokémon di Istana Presiden di sini.

Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama, yang popular dipanggil Ahok, mempelawa pembangun permainan itu meletakkan Pokemon di pejabatnya.

Beliau juga percaya Pokémon Go boleh menggalakkan pelancongan di ibu kota tersebut. – MalayMail