Thursday, July 21, 2016

Bedah Siasat Mayat Tiga Beranak Malam Esok

KUCHING – Mayat tiga beranak yang ditemui mati di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru, Samarahan, malam Selasa lalu, belum dibedah siasat berikutan pakar patologi di Hospital Umum Sarawak (HUS) kini berada di luar negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar, berkata pakar patologi terbabit dijangka tiba di Kuching, petang esok.

Berikutan itu, katanya, bedah siasat tiga mayat berkenaan dijangka hanya dapat dijalankan malam esok.

“Pakar patologi HUS ada tugas di luar Kuching, Jumaat (esok) akan balik,” katanya kepada BH sebentar tadi.

Mayat tiga beranak itu ditemui ahli keluarga mereka di kediaman mereka kira-kira jam 8 malam, Selasa lalu.

Mayat Rohana Mohamad, 37, ditemui tergantung di dalam tandas manakala dua anaknya, Adam Hadiman, 7 dan Mohd Ikmal Danish, 4, ditemui di atas tilam di dalam bilik tidur dengan bibir kehitaman. Dev berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan. – BH