Wednesday, July 20, 2016

Syarikat pengimport kurma saman Kastam kerana kenakan GST

Sebuah syarikat pengimport dan pengedar buah kurma dari Arab Saudi memfailkan saman terhadap Kastam Diraja Malaysia dan satu pihak lagi berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas buah kurma kering. – GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR 20 Julai – Sebuah syarikat pengimport dan pengedar buah kurma dari Arab Saudi memfailkan saman terhadap Kastam Diraja Malaysia dan satu pihak lagi berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas buah kurma kering.

Asia Kitchen Sdn. Bhd. memfailkan saman itu pada 17 Jun lepas melalui peguam Datuk Abu Backer Sidek daripada A.B Sidek & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Syarikat pengimport dan pengedar buah kurma itu menamakan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua.

Abu Backer yang ditemui pemberita selepas prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K. Pavani, berkata, pihaknya telah menyerahkan writ saman itu kepada defendan pada 18 Julai lepas dan mahkamah menetapkan 3 Ogos ini untuk pengurusan kes itu.

Mengikut penyataan tuntutan, syarikat itu menuntut supaya defendan-defendan memberikan alasan atau justifikasi ke atas GST yang dikenakan bagi kurma kering itu.

Plaintif juga mendakwa tindakan defendan-defandan adalah suatu bentuk ketidakadilan dan penganiayaan yang menyusahkan bukan sahaja kepada plaintif tetapi kepada pihak lain yang terpaksa menanggung bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Syarikat itu memohon suatu perintah supaya produk-produk asas dan perkhidmatan asas dikecualikan daripada dikenakan GST dan suatu perintah bahawa kurma kering adalah makanan sunnah orang Islam dikecualikan daripada dikenakan cukai berkenaan.

Selain itu plaintif juga memohon perintah bahawa senarai buah-buahan dan sayur-sayuran, senarai barang bercukai dan tidak bercukai edisi ketiga dipinda dan kurma kering tidak dikenakan GST sama seperti kurma basah. – BERNAMA

– See more at: http://ift.tt/29SRtKb