Thursday, July 21, 2016

Penulis Ucapan Isteri Trump Mengaku Silap

CLEVELAND: Seorang penulis ucapan semalam mengaku bertanggungjawab ke atas sebahagian ucapan Melania Trump, isteri kepada calon presiden Republikan, Donald Trump, ketika berucap di konvensyen parti itu minggu ini yang dituduh diciplak.

Kakitangan penulis Pertubuhan Trump, Meredith McIver, berkata beliau memasukkan petikan ucapan ke dalam ucapan Melania yang menyerupai ucapan wanita pertama Michelle Obama pada tahun 2008.

“Saya tidak menyemak ucapan wanita pertama itu. Ini adalah kesilapan yang berat sehingga menyebabkan kekalutan kepada Melania dan Trumps, begitu juga Michelle Obama.

Saya tidak bermaksud jahat,” kata McIver dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Melania ada membacakan petikan dari ucapan Michelle Obama untuk Konvensyen Kebangsaan Demokratik 2008 melalui telefon kepada beliau sebagai contoh. McIver menulis semula ucapan itu dan kemudian memasukkan beberapa petikan dalam draf yang menjadi ucapan Melania pada malam Isnin lalu.

Tuduhan menciplak itu pantas membelenggu kempen Trump sebaik media melaporkan persamaannya. Dalam pada berdepan tekanan untuk menjelaskan apa yang berlaku dan siapa yang harus dipersalahkan, kem Trump menawarkan versi acara berbeza pada Isnin dan Selasa. – Agensi