Tuesday, July 19, 2016

Bank di China siar nama peminjam liat bayar hutang di skrin besar

REUTERS – ORANG ramai yang melihat nama penghutang yang menghilangkan diri dipaparkan di stesen kereta api Shanghai di China kelmarin.

SHANGHAI – Syarikat-syarikat kewangan di sini mula menggunakan kaedah baharu bagi memungut hutang dengan menyiarkan nama mereka yang degil membayar pinjaman pada skrin besar di tempat tumpuan awam.

Terkini, empat skrin besar di stesen kereta api Shanghai tidak lagi sekadar memaparkan waktu perjalanan tren tetapi juga nama mereka yang cuba melarikan diri daripada membayar hutang.

Keadaan itu didakwa disebabkan oleh kelembapan ekonomi sehingga semakin ramai peminjam sukar membayar balik pinjaman mereka dan memaksa bank menanggung hutang lapuk melebihi AS$299 bilion (RM1.2 trilion) setakat akhir Mei lalu.

Bagi mengatasi masalah yang kian meruncing itu, mahkamah China membenarkan syarikat kewangan menggunakan taktik ‘memalukan’ penghutang selepas kaedah lain gagal.

Presiden Mahkamah Agung China, Zhou Qiang mengisytiharkan pada Mac lalu bahawa tindakan mengelak hutang mendatangkan masalah kepada negara.

Menurutnya, mahkamah tidak akan memberi ruang kepada orang yang berhutang bersembunyi dan tidak melunaskan pinjaman mereka.

Selama 10 hari dan berakhir Jumaat lalu, nama, nombor kad pengenalan, alamat dan jumlah hutang yang perlu dilunaskan oleh 20 penghutang individu termasuk ketua syarikat telah dipaparkan pada skrin besar di dua stesen kereta api utama di Shanghai. – Reuters

Artikel Penuh: http://ift.tt/2a7q7Rr