Wednesday, July 20, 2016

Konsert Selena Gomez Hiburan Melalaikan – Exco PAS Selangor

PETALING JAYA – Exco PAS Selangor tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri membenarkan penganjuran konsert Selena Gomez pada minggu depan.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menyifatkan konsert itu sebagai hiburan yang melalaikan dan bertentangan syariat Islam.

“Saya lihat tidak ada kebaikan pun konsert tersebut untuk masyarakat Islam. Penampilannya yang bertentangan syariat Islam di luar tetap akan memberi kesan kepada generasi muda,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, pemimpin Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS Selangor bersama hampir 100 penyokong mengadakan protes membantah konsert Selena di Bangunan SUK, Shah Alam.

Satu memorandum bantahan turut diserahkan kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Mohd Shahrizal Mohd Salleh yang berjanji akan menyampaikan hasrat tiga sayap PAS Selangor itu kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahmad Yunus yang menyokong tindakan tiga sayap PAS Selangor mengadakan protes itu dan konsert itu dibatalkan berkata, bantahan itu bertujuan menyampaikan mesej Islam kepada pentadbir kerajaan negeri.

Konsert Selena Gomez ‘The Revival Tour’ akan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 25 Julai ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dilaporkan berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam meluluskan permohonan itu tanpa mendapat tekanan mana-mana individu mahupun organisasi.

Bagaimanapun, MBSA menetapkan beberapa syarat “ketat” untuk dipatuhi penyanyi itu dan penganjur ekoran bantahan sesetengah ahli majlis khasnya ahli majlis daripada PAS.

“Ia termasuk konsert perlu diadakan di lokasi tertutup bagi menjamin keselamatan penonton, pakaian tidak boleh terlalu terdedah, tidak boleh ada arak, rokok dan dadah, tidak boleh melebihi tempoh ditetapkan (sejam hinggan sejam 30 minit), tidak boleh disiarkan secara langsung serta harga tiket perlu terkawal (antara RM250 hingga RM500),” katanya. – FMT