Wednesday, July 20, 2016

Parti orang kecewa: Terpulang lah nak kata apa pun!

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi isyarat parti baharu yang diasaskannya akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkannya kepada Sinar Harian hari ini.

“Tidak lama lagilah,” katanya ringkas.

Ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam parti itu, Mahathir berkata, beliau terlibat secara langsung.

“Sungguhpun begitu, saya tiada niat untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Menurutnya, ramai individu datang berjumpa dengannya dan memberi sokongan terhadap penubuhan parti itu.

“Mereka kata akan bersama kami. Tapi tidak tahulah sampai bila,” katanya.

Menyentuh mengenai rangka parti, beliau berkata, paling penting adalah sokongan keahlian daripada rakyat.

“Saya berharap rakyat akan menyertai parti ini bersama,”katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun isterinya ke 90, di sini hari ini.

“Keistimewaan dan kekuatan parti akan diterangkan nanti,” katanya yang menyambut baik penerimaan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap parti tersebut.

Ditanya mengenai penubuhan parti baharu sebagai ‘parti orang kecewa’, Mahathir berkata: “Mereka boleh cakap apa sahaja. Mereka boleh cakap saya nyanyuk. Itu hak mereka, tidak mengapa,”katanya.-Sinar