Wednesday, July 20, 2016

50,000 Belot Kerajaan Turki Termasuk Guru, Dekan Universiti Berdepan Tindakan

ANKARA – Bilangan pembelot yang terlibat dalam cubaan rampasan kuasa di Turki hujung minggu lalu mencecah 50,000 orang dengan kesemua mereka telah ditahan, digantung tugas dan dipecat.

Portal BBC melaporkan, selain anggota tentera, pembelot lain yang dikenal pasti turut terdiri daripada guru, dekan universiti serta pengamal media.

Menurut kerajaan Turki, sebahagian besar daripada pembelot itu dipercayai penyokong kepada pemimpin antikerajaan yang berlindung di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen.

Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim berkata, semua pembelot itu ‘bekerjasama’ dengan Gulen yang dipercayai mengetuai sebuah ‘organisasi keganasan’.

“Kami akan cari mereka (pembelot) hingga ke lubang cacing,” kata Yildirim kepada Parlimen.

Ketika ini, Turki dilaporkan cuba menggesa AS supaya mengekstradisi Gulen bagi membolehkan pemimpin itu diadili di negaranya.

Perkara itu dibangkitkan menerusi satu panggilan telefon antara Presiden, Recep Tayyip Erdogan dengan rakan sejawatnya di AS, Barack Obama, kata White House.

Jurucakap bagi pihak kerajaaan AS, Josh Earnest bagaima­napun berkata, keputusan sama ada mahu mengekstradisi Gulen atau tidak akan dibuat menerusi perjanjian antara kedua-dua buah negara.

Selain 20,000 anggota tentera yang telah dipecat ketika ini, kerajaan Turki juga memberhentikan kira-kira 15,200 orang guru dan lebih 10,000 kakitangan di Kementerian Dalam Ne­geri, Kementerian Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri Turki.

Pada masa yang sama, seramai 1,577 dekan universiti yang dipercayai terlibat juga telah diminta supaya meletak jawatan.

Turki turut mengenakan tindakan keras terhadap 24 buah stesen radio dan televi­syen yang didakwa mempunyai kaitan langsung dengan Gulen apabila menarik semula permit perniagaan mereka. – UTUSAN