Wednesday, July 20, 2016

Video: Isteri Donald Trump Ciplak Ucapan Isteri Obama

PETALING JAYA – Bekas model kelahiran Slovania, Melania Trump yang juga isteri ketiga calon presiden Donald Trump didakwa menciplak sebahagian teks ucapan isteri Presiden Amerika Syarikat, Michelle Obama lapan tahun lalu.

Teks ucapan Melania untuk menyambut kehadiran perwakilan ke Konvensyen Kebangsaan Republikan di Cleveland, semalam didapati sama dengan teks ucapan Michelle di sebuah konvensyen parti Demokratik pada 2008.

Dalam kedua-dua petikan itu, dua wanita itu memperkenalkan diri mereka kepada rakyat dengan mengetengahkan nilai-nilai yang membentuk diri mereka.

“Ibu bapa saya menekankan nilai-nilai ini kepada saya: Anda perlu bekerja keras untuk mendapatkan apa yang anda mahu dalam hidup. Perkataan anda adalah jaminan anda dan anda lakukan apa yang anda katakan dan kotakan janji anda. Hormat orang. Mereka mengajar saya untuk menunjukkan nilai-nilai dan akhlak dalam kehidupan seharian saya. Itulah perkara yang saya ajar anak kami,” kata Melania Trump.

“Dan kita perlu ajar perkara-perkara itu kepada generasi-generasi akan datang. Kerana kami mahu anak-anak kami dalam negara ini tahu satu-satunya had terhadap pencapaian anda adalah kekuatan impian dan kesanggupan anda untuk menjayakannya.”

Ini pula sebahagian petikan ucapan Michelle.

“Barack dan saya dididik dengan banyak nilai sama: Anda bekerja keras untuk apa yang anda mahu dalam hidup; kata-kata anda adalah jaminan anda dan anda lakukan apa yang anda janji akan lakukan; layan orang dengan hormat dan bermaruah, walaupun anda tidak kenal mereka dan tidak bersetuju dengan mereka.

“Barack dan saya bercadang membina kehidupan berpandukan nilai-nilai ini dan wariskan kepada generasi akan datang. Kerana kami mahu anak-anak kami – dan semua kanak-kanak di negara ini – tahu satu-satunya had terhadap pencapaian anda adalah mencapai impian anda dan kesanggupan anda untuk menjayakannya.”

Penasihat komunikasi kanan Trump, Jason Miller dalam satu kenyataan mengelak menjawab soalan berhubung tindakan menciplak teks ucapan Michelle tetapi tidak menafikannya.

“Pengalaman berhijrah Melania dan cinta terhadap Amerika menyerlah dalam ucapannya yang menjadikan ia satu kejayaan,” kata Jason.

Ucapan Melania itu menjadi kemuncak perasmian konvensyen Republikan, di mana perwakilan secara rasminya memilih Donald sebagai calon presiden parti itu semalam.

“Ia benar-benar satu penghormatan untuk memperkenalkan isteri saya, Melania. Ucapan dan perilaku beliau benar-benar luar biasa. Sangat bangga!” tulis jutawan itu dalam Twitternya kemudian. – AFP/FMT