Tuesday, July 19, 2016

Kerana lembu, pacuan empat roda putus dua

Quote:

MUADZAM SHAH – Bahana lembu dibiarkan berkeliaran, seorang pemandu pacuan empat roda maut dalam satu kemalangan selepas kenderaan dinaiki melanggar sekumpulan lembu di Kilometer (KM) 132 Jalan Kuantan – Segamat sekitar jam 2.30 pagi tadi

Mangsa yang maut dikenali sebagai Eeu Kok Jiat, 24, manakala isterinya, Tin Mei Sin, 22, yang berada di kerusi penumpang hadapan mengalami cedera parah dan dipercayai mereka dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Singapura

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dinaiki pasangan suami isteri itu gagal mengelak sekumpulan lembu yang berada di atas jalan.

“Kedua mangsa menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan ketika sampai di tempat kejadian dipercayai kenderaan yang dipandu cuba mengelak sekumpulan lembu di atas jalan tetapi gagal lalu melanggarnya

“Akibat kemalangan itu, kenderaan yang dipandu hilang kawalan menyebabkan ia terbabas melanggar penghadang jalan sebelah kiri menghala ke arah Segamat dan terlanggar sebatang pokok besar lalu terputus dua,” katanya kepada Sinar Harian

Muhammad Aidil berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kenderaan terlibat meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan sebelah kiri mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

Dalam pada itu, beliau turut menasihati penternak haiwan di kawasan berkenaan supaya bertanggungjawab dengan haiwan ternakan masing-masing dengan memastikan ia tidak berkeliaran kerana ia merbahaya kepada pengguna jalan raya

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Fazli, berkata, kawasan kejadian itu kerap dilihat haiwan ternakan seperti lembu berkeliaran di jalan raya terutama pada waktu malam dan sudah beberapa kali kejadian kemalangan berlaku disebabkannya

“Lembu-lembu ternakan ini memang biasa dilihat berkeliaran di jalan raya dan pemandu yang melalui kawasan kejadian perlu berhati-hati. Saya juga pelik jika lembu hilang penternak akan kecoh tetapi bila haiwan ternakan mereka menyebabkan kemalangan, tiada yang mahu mengaku itu lembu mereka,” katanya