Thursday, July 21, 2016

Bekas MB Dilantik Ketua Perkasa Terengganu

KUALA LUMPUR: Bekas menteri besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini memutuskan menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

Ahmad Said yang meletakkan jawatan MB dua tahun lalu kini dilantik Yang Dipertua Perkasa Terengganu.

“Datuk Ismail Samah, YDP sebelum ini secara sukarela memberi laluan dan mahu Ahmad Said mengambil ali jawatan sebagai YDP Perkasa Terengganu dan sokongan sebulat suara telah diterima oleh Majlis Pimpinan Perkasa Terengganu,” kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dalam satu kenyataan hari ini.

“Sama-samalah kita berdoa semoga Perkasa Terengganu akan bangkit membawa obor perjuangan Perkasa demi agama, bangsa dan negara,” jelasnya.

Semalam, MB Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman membuat kejutan apabila menyenaraikan Ahmad Said sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam perubahan portfolio membabitkan enam Exco negeri.

Pelantikan itu dilihat usaha membawa kembali Ahmad Said yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal hampir dengan jentera eksekutif negeri.