Wednesday, July 20, 2016

13 Wakil Rakyat PAS Selangor Nafi Dahului Presiden

SHAH ALAM – Salah seorang Adun PAS yang menyokong cadangan ‘gencatan senjata’ di antara parti pembangkang nafi mendahului Abdul Hadi Awang, Presiden parti itu.

Menurut Mohd Khairuddin Othman yang merupakan Adun Paya Jaras, sokongan ketiga-tiga belas wakil rakyat daripada Selangor itu merupakan pendirian peribadi akar umbi seperti mana Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man nyatakan.

“Pertamanya kenyataan timbalan itu kenyataan peribadi dan pandangan Adun pun pendangan peribadi.”

“Kita hanya suarakan pandangan dan peribadi sebagai orang bawah, jadi tidak timbul isu mendahului presiden sebab mesyuarat pusat belum berlaku,” katanya kepada Berita Daily ketika dihubungi.

Jelasnya lagi selagi parti menerusi mesyuarat PAS pusat belum membuat sebarang ketetapan maka ahli-ahli berhak untuk menyatakan pendirian peribadi masing-masing.

“Selagi mesyuarat belum berlaku bermaksud belum ada keputusan yang dibuat, jadi itu hanya pendirian peribadi agar pihak kepimpinan perhalusinya,” tambah beliau.

Terlebih dahulu, tiga belas wakil rakyat PAS di negeri tersebut tampil menyatakan sokongan terbuka terhadap tawaran ‘gencatan senjata’ pembangkang yang dibuat Tuan Ibrahim baru-baru ini.

Adun dan ahli Parlimen (MP) itu menyatakan sokongan kepada Tuan Ibrahim dan Naib Presiden PAS Iskandar Abd Samad, yang mendukung kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan itu, mereka juga risau terhadap perkembangan politik Selangor yang dimenangi bersama gabungan dengan PKR dan DAP pada 2008.

Mereka justeru, menuntut sebuah pendekatan atas nama “Pakatan Pembangkang” untuk mempertahankan Selangor selain, mencari pendekatan ke arah pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi sehingga kini tidak mengulas cadangan timbalannya.

Khairuddin yang juga Setiausaha PAS Selangor dalam masa yang sama beliau turut menafikan tindakan awal yang dibuat kesemua wakil rakyat Selangor itu sebagai jalan penyelamat agar tidak menjadi mangsa dalam kerajaan negeri Selangor yang juga terdiri daripada PKR dan DAP.

“Tidak masalah mengenai dihimpit atau tidak di negeri itu kelak, sebab Menteri Mesar Selangor (Mohamed Azmin Ali) pun buat kenyataan menyokong… DAP Selangor pun begitu,” ujarnya. – BeritaDaily