Wednesday, July 20, 2016

CUEPACS cadang persaraan usia 62 tahun

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu dasar baharu untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam kepada 62 tahun.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata dasar umur persaraan daripada 60 tahun kini kepada 62 tahun itu dilihat perlu dilakukan sebagai persediaan untuk negara menjadi negara maju yang mampu bersaing di peringkat global setanding dengan negara maju yang lain.

“Apabila hendak menuju ke negara maju kita memerlukan dasar yang dapat diterima secara sejagat. Dari segi bakat, negara yang menuju ke negara maju dan telah maju mempunyai dasar untuk penjawat awam dilanjutkan usia persaraan lebih daripada 60 tahun.

“Kumpulan profesional seperti pensyarah, hakim, jurutera dan pakar runding mempunyai kepakaran tertentu, negara akan rugi jika dilepaskan kepakaran ini,” katanya dalam temu bual program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel yang disiarkan secara langsung semalam.

Beliau berkata dalam dasar baharu itu penjawat awam boleh membuat pemilihan persaraan pada usia 62 tahun atau lebih awal dari itu tanpa paksaan. – Bernama