Wednesday, July 20, 2016

Provokasi terhadap umat Islam

Rahimin menunjukkan sebahagian buku kulit hitam yang ditemui orang ramai di Jasin, Jumaat lalu.
MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menganggap tindakan pihak tertentu menyebarkan serta meletakkan beberapa buku ‘My Kitab’ di beberapa lokasi awam di Jasin sebagai sebagai satu provokasi terhadap umat Islam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, tindakan sedemikian juga boleh menimbulkan kebimbangan serta prasangka perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Buku-buku berkenaan ditemui di kedai makan, perhentian bas dan juga di beberapa pondok kosong di tepi jalan sepanjang kawasan Chabau hingga ke Simpang Bekoh.

“Perkara ini sekiranya dibiarkan, dibimbangi akan menggugat keamanan negara kita dan kita khuatir masyarakat awam akan bertindak lebih tegas sehingga menimbulkan kekacauan,” katanya.

Justeru, Rahimin meminta pihak berkenaan menghentikan penyebaran risalah serta buku- buku tersebut.

Beliau berkata, kejadian tersebut berlaku pada Jumaat lepas selepas dihubungi orang awam pada jam 7 pagi dengan menyatakan menemui beberapa buah buku yang kulit luarnya berwarna hitam tanpa judul.

“Bila dibuka pada bahagian dalamnya tertera tajuk My Kitab dan buku berkenaan yang dicetak dalam bahasa Malaysia. Saya telah minta pengadu supaya mengumpulkan buku-buku terbabit.

“Pemeriksaan yang dilakukan menemui beberapa buah buku termasuk yang ditemui oleh orang awam serta pihak JKKK menjadikan penemuan keseluruhan 38 naskhah,” katanya.

Kata Rahimin, kes berkenaan akan disiasat di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan, Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam 1988.

Beliau turut mengingatkan orang ramai terutama JKKK dan supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang kegiatan seperti penyebaran risalah berkaitan ajaran yang bertentangan, fahaman ekstrem dan juga ajaran Syiah

sumber:http://ift.tt/29SNOMv