KUALA TERENGGANU- Seorang pemuda dihukum penjara sembilan tahun selepas didapati bersalah merogol dan meliwat seorang gadis dipercayai teman wanitanya, dua tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Tertuduh, Mohamad Syamil Asraf Kamaruzaman, 20, dari Kampung Wakaf Tembesu, di sini, didapati bersalah atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377 B Kanun Keseksaan kerana meliwat mangsa, 18.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang semasa kejadian berusia 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tembesu, di sini, lebih kurang jam 8.30 pagi, pada 21 September 2014.
Dia didakwa mengulangi perbuatan sama pada 22 September 2014, kira-kira jam 12 tengah hari, di lokasi sama, dan melakukannya sekali lagi kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Tertuduh didakwa merogol mangsa buat kali keempat pada 23 September 2014, di rumah sama kira-kira jam 10.30 pagi dan merogol mangsa kali kelima pada 24 September 2014, kira-kira jam 1 pagi, di lokasi sama.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Bagi setiap pertuduhan, Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman penjara enam tahun yang berjalan serentak bermula semalam.
Selain itu, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan meliwat mangsa, pada 23 September 2014.
Selepas didapati bersalah bagi pertuduhan tersebut, Asmadi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun berkuat kuasa semalam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.