KUALA LUMPUR, 18 Jul — Tadika swasta sekitar Lembah Klang didapati mengenakan caj makin tinggi, antara RM5,000 hingga RM9,000 setahun bagi seorang murid.
Kadar itu meliputi yuran pendaftaran setinggi antara RM1,500 hingga RM2,400, yuran bulanan, buku dan uniform.
Jumlahnya lebih RM3,000, tidak termasuk yuran bulanan berjumlah RM3,240 selama sembilan bulan. Yuran bulanan, paling murah antara RM300 hingga RM550, lapor Utusan Malaysia.
Caj tambahan dikenakan kepada ibu bapa yang memilih pakej penjagaan sepanjang hari, dari 7.30 pagi hingga 6 petang.
Caj tersembunyi juga dikenakan misalnya membuat lawatan, hari sukan, yuran projek kelas dan sukan akhir tahun.
“Cuba bayangkan berapa kos mesti ditanggung jika satu pasangan ibu bapa mempunyai dua atau tiga anak berusia antara empat hingga enam tahun yang kesemuanya perlu dihantar ke tadika,” akhbar itu dipetik.
Menurut akhbar itu lagi, ibu bapa tiada pilihan berikutan permohonan kemasukan anak mereka ke tadika atau prasekolah kerajaan ditolak.
Ini kerana jumlah pengambilan murid yang ditawarkan di tadika kerajaan amat terhad selain memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah.
Kos keseluruhan tadika kerajaan, menurut akhbar itu lagi, hanya RM115 yang dibayar pada hari pendaftaran.
– See more at: http://ift.tt/29OL5HU
|
Walaupun mahal, kami tiada pilihan KUALA LUMPUR 17 Julai – “Boleh kopak poket kalau memikirkan soal hendak hantar anak masuk tadika.” Itulah antara rintihan seorang bapa yang hanya mahu dikenali dengan Nazri, 30, apabila berbicara tentang yuran tadika swasta yang terpaksa ditanggungnya selepas permohonan anaknya untuk masuk ke tadika kerajaan ditolak. Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia terpaksa membayar RM2,000 bagi yuran pendaftaran kemasukan ke sebuah tadika di Selangor selain bayaran bulanan sebanyak RM450. “Itu baru anak sulung, belum adik-adiknya yang terpaksa hantar ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), saya tiada pilihan kerana saya dan isteri bekerja. “Semasa nak daftar paling perit, itu perlu dibayar, ini perlu dibayar. Gaji saya bukan besar sangat, tiap-tiap bulan kos untuk anak pertama RM450 (tadika), anak kedua RM300 (taska) dan anak ketiga pula RM350 (taska), boleh dikatakan lebih RM1,000,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. Jelas Nazri yang bekerja sebagai penyelia kilang, kos tersebut tidak termasuk kos pengangkutan anak sulungnya ke tadika selain caj tambahan lebih penjagaan lebih masa sekiranya dia atau isterinya lambat mengambil anak-anak mereka dari tadika dan taska. Bagi Shahirah Wahab, 40, operator tadika swasta seperti mengambil kesempatan dengan menaikkan kadar yuran setiap tahun. “Mungkin mereka tahu bahawa ramai ibu bapa tidak mempunyai pilihan selain menghantar ke tadika swasta, sebab itu mereka sesuka hati menaikkan harga. “Kadang-kala kami bukan sahaja dibebankan dengan yuran bulanan malahan setiap bulan pasti ada bayaran yang diminta kononnya untuk menjalankan aktiviti,” ujar ibu kepada dua anak ini. Katanya, dia berasa lega sebaik kedua-dua anaknya mula memasuki sekolah rendah. Hal yang sama dikongsi oleh Ghazali Ismail, 33, yang memberitahu, dia dan isterinya tidak ada pilihan selain menghantar ke tadika swasta kerana dimaklumkan pendapatannya dan isteri melebihi syarat ditetapkan untuk menghantar anak ke tadika dan prasekolah kerajaan. “Anak saya dua-dua masih di tadika, pada November tahun lalu saya terpaksa membelanjakan hampir RM5,000 bagi membayar yuran pendaftaran. “Itu tidak termasuk yuran bulanan, takkan saya tidak mahu hantar anak ke tadika maka mahu atau tidak saya terpaksa hantar mereka ke tadika swasta,” katanya. Dalam pada itu, seorang ibu, Jamilah Khamis, 34 menyifatkan syarat dan kriteria pengambilan murid ke tadika atau prasekolah kerajaan amat ketat. “Saya bukanlah bergaji besar tetapi pendapatan minima ditetapkan untuk membolehkan anak-anak dihantar ke tadika kerajaan amat rendah. “Jadi terpaksalah saya menghantar anak ke tadika swasta yang bayarannya kalau diikutkan memang membebankan,” katanya. – See more at: http://ift.tt/29OKRkd |