Para ulama dari Uttar Pradesh, India menggesa agar pendakwah antarabangsa yang popular Dr Zakir Naik ditangkap dan saluran televisyen beliau, Peace TV, diharamkan.
Ini menyusuli tindakan pihak berkuasa di Bangladesh dan India yang memulakan siasatan terhadap Dr Zakir Naik, lapor MalaysiaKini.
Menurut laporan Times of India, para ulama terkemuka dari Uttar Pradesh membuat gesaan demikian disebabkan ceramah-ceramah beliau yang berunsur “kebencian”.
“Kegiatan Zakir Naik bercanggah dengan Islam dan budaya masyarakat India,” kata seorang ulama dari bandar Bareilly, Maulana Asjad Raza Khan.
Maulana Shahbudeen Razvi pula menyifatkan ceramah Dr Zakir Naik sebagai menyokong pengganasan dan membuat pengikutnya menjadi radikal dan beliau harus ditangkap dan saluran televisyen beliau diharamkan.
Laporan sebelum ini menyatakan para pengganas yang melancarkan serangan ke atas sebuah kafe di Dhaka mendapat inspirasi dari Dr Zakir Naik.
CERAMAH-CERAMAH DR ZAKIR NAIK DISIASAT
Awal hari ini (8 Jul), laman Economic Times di India melaporkan bahawa pemerintah negeri Maharashtra sedang menyiasat ceramah-ceramah yang disampaikan Dr Zakir Naik.
Menurut laman itu lagi, seorang pegawai polis dari Mumbai berkata, dakwaan yang menyatakan Dr Zakir Naik ada kaitan dengan pengganasan akan disiasat dengan mendalam, “lebih-lebih lagi kerana ‘inspirasi’ beliau selama ini adalah Ahmed Deedat, seorang lagi pendakwah berpengaruh dari Afrika Selatan”.
“Terdapat lebih seribu video dan dokumen-dokumen lain yang akan disiasat, kami sudah menubuhkan beberapa pasukan,” kata pegawai tersebut seperti yang dinukil oleh MalaysiaKini.
MALAYSIA JUGA AKAN SIASAT ZAKIR NAIK
Sementara itu, Ketua Polis Malaysia Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu laman Malay Mail bahawa beliau akan meneliti semua ceramah Dr Zakir Naik di India dan Bangladesh. Ini setelah kedua-dua negara itu memulakan siasatan terhadap pendakwah yang disifatkan sebagai kontroversil itu.
“Saya akan memberikan komen setelah saya dengar sendiri apa yang Dr Zakir Naik sampaikan dalam ceramahnya di India/Bangladesh,” Tan Sri Khalid memberitahu Malay Mail.
Beliau menambah bahawa tindakan yang wajar akan diambil sekiranya ceramah Dr Zakir Naik ternyata mengandungi elemen-elemen yang menggalak pengganasan.
Rohan Imtiaz dan Nibras Islam ialah dua pengganas yang terlibat dalam serangan di Dhaka yang mengorbankan 20 tebusan. Mereka dilaporkan mendapat ‘inspirasi’ daripada Dr Zakir Naik.
“SETIAP ORANG ISLAM PERLU JADI PENGGANAS?”
Rohan dilaporkan pernah memuat naik status di laman Faceboooknya yang menukil Dr Zakir Naik sebagai berkata “setiap orang Islam perlu menjadi pengganas”.
Dr Zakir Naik dijemput ke Malaysia pada bulan April tahun ini dan beliau menyampaikan beberapa ceramah selama seminggu dan beliau juga dipuji sebagai “seorang lelaki yang bijak”.
Beliau juga pernah menerima penghargaan daripada kerajaan Malaysia, termasuk anugerah berprestij “Tokoh Maal Hijrah” pada tahun 2013. Malah beliau dilaporkan dihadiahkan tiga pulau di Tasik Kenyir oleh kerajaan Terengganu, lapor Malay Mail.
DR ZAKIR NAIK TANGKIS DAKWAAN
Menyusuli dakwaan-dakwaan bahawa beliau ada kaitan pengganasan, Dr Zakir Naik memuat naik beberapa video di laman Facebook beliau sebagai respons.
Menurut beliau, ungkapannya diambil dan digunakan di luar konteks, lantas mencetuskan salah tanggapan bahawa beliau menggalak pengganasan.
Katanya, ini bukanlah kali pertama beliau difitnah dengan ungkapan “setiap orang Islam perlu menjadi pengganas”.
“Petikan video itu, memang saya menyatakan ungkapan tersebut. Namun ia digunakan di luar konteks,” ujar beliau.
“Setiap kali mereka mahu melemparkan fitnah terhadap saya, mereka hanya akan memetik bahagian video di mana saya mengungkapkan ‘setiap orang Islam perlu menjadi pengganas’ dan bukan apa yang saya katakan sebelum dan sesudah itu,” tambah beliau.
Dr Zakir mempunyai lebih 14 juta pengikut di laman Facebook beliau dan 200 juta penonton di rangkaian televisyen Peace TV.
– Agensi berita/nk