Monday, July 18, 2016

Western Digital & Seagate Penang Tutup Operasi – Kilang Baru di Korat, Thailand

Kuala Lumpur: Seagate telah mengesahkan rancangannya untuk menutup kilang pengeluarannya di Malaysia sebagai sebahagian dari langkah penstrukturan semula.

Langkah ini bakal melihat penutupan dua buah kilang Seagate yang tiap satunya terletak di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Terdahulu, syarikat pengeluar hard disk ini mengeluarkan kenyataan bagi mengurangkan jumlah keseluruhan tenaga kerjanya kepada 14 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Jangkaan awal menjangkakan sejumlah 8,000 orang pekerja akan terlibat dalam langkah pengurangan kos ini dan kilang-kilang Seagate di Malaysia turut terlibat dalam rancangan ini.

Seagate mengalami kemerosotan hasil jualan produknya apabila hasil laporan suku tahun kedua 2016 mencatatkan jumlah keseluruhan jualan sekitar 37 juta unit HDD.

Antara faktor yang mendorong kemerosotan jualan HDD adalah pengurangan jumlah jualan komputer peribadi di serata dunia sejak akhir-akhir ini.

Tiada pengumuman tentang tarikh sebenar penutupan operasi terhadap kilang-kilang Seagate Malaysia berkenaan.

Berdasarkan pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Seagate melalui laporan oleh New Straits Times, tidak sangka langkah pengurangan kos ini berlaku dengan agak pantas.

Sementara itu Western Digital turut menutup operasi di Pulau Pinang dengan 400 pekerja tempatan dan 800 pekerja asing bakal kehilangan kerja.

Mereka juga memindahkan operasi di mana kilang baru akan dibuka di Korat Thailand.

Buat masa ini hanya kilang Western Digital di Senai akan dikekalkan.

Seagate telah beroperasi di pulau mutiara sejak 1988. Penutupan operasi mereka ini pastinya akan mendatangkan impak ke atas penduduk Pulau Pinang.