SHAH ALAM – Seorang atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA) didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah memikat isteri ahli perniagaan dengan niat melakukan persetubuhan yang ditegah, April lalu.
Majistret, Siti Shakirah Mohtaruddin membuat keputusan itu terhadap Syed Mohammad Murad Syed Naseem.
Syed Mohammad Murad, 29, mengaku bersalah memikat wanita berkenaan di kediamannya, No 14, Jalan Elektron U16/36, Denai Alam, pada 15 April lepas.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Haziqah Zulkifli mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, suami wanita itu yang juga pengadu mendapati isterinya telah pulang dengan Syed Mohammad Murad ke rumah lelaki berkenaan dengan menaiki BWW 5 Series.
Pengadu kemudiannya membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
Jam 4.30 pagi, anggota Jais tiba dan membuat serbuan ke atas kediaman itu dan menahan mereka atas kesalahan khalwat.
Syed Mohammad Murad yang diwakili peguam, Hazman Harun berkata, anak guamnya telah insaf dan tidak mengulangi kesalahan itu lagi.
“Dia juga sudah tidak menghubungi dan berjumpa dengan isteri pengadu selepas kejadian itu,” katanya.
Justeru, beliau memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya.
“Untuk makluman, anak guam saya telah mendapat kontrak bagi penglibatan sukan MMA di Amsterdam,” katanya.