Friday, July 1, 2016

Isteri maut ditusuk besi penghadang jalan

Quote:

DUNGUN: Seorang wanita maut manakala suami dan anaknya cedera ringan selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 83, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Batu 5, di sini, malam ini

Dalam kemalangan itu kira-kira jam 7 malam, Nur Madihah Mohd, 22, yang cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian

Kemalangan itu berlaku apabila kereta Proton Waja yang dipandu suaminya, Muhammad Syahir Muhammad Syafiq Chandran, 21, dipercayai terbabas ke kiri jalan selepas menuruni kawasan berbukit di situ

Kereta terbabit melanggar besi penghadang jalan sehingga menembusi kereta terbabit dan menikam isterinya yang duduk di sebelah pemandu

Jenazah Nur Madihah kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun

Muhammad Syahir dan anaknya, Muhammad Naufal, dua tahun yang cedera ringan dibawa ke hospital sama untuk rawatan

Ketika kejadian, tiga beranak terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Limbong, Paka selepas membeli barang keperluan harian di bandar Dungun

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian

Katanya, sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit

Berikutan kejadian itu, angka kematian akibat kemalangan jalan raya di daerah ini meningkat kepada 36 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini