TAIWAN: Sebuah kapal perang Taiwan tersilap melepaskan sebuah peluru berpandu ke arah China pagi tadi (1 Julai). Ia terkena sebuah kapal menangkap ikan di perairan pulau Penghu yang ditadbir Taiwan.
Taiwan’s Central News Agency melaporkan, sebuah kapal peronda sedang melakukan pemeriksaan di Kaohsiung ketika peluru berpandu Hsiung Feng III tanpa sengaja dilancarkan. Peluru berpandu tersebut mengarah langsung ke daratan China, dan mengenai bot nelayan di Kepulauan Penghu.
Kapten kapal ikan itu terbunuh manakala tiga kelasinya cedera termasuk seorang rakyat Filipina dan seorang lelaki Vietnam.
Kementerian Pertahanan Taiwan meminta maaf kepada keluarga mereka.
Peluru berpandu supersonic buatan Taiwan itu mempunyai jarak serangan 75 kilometer.
Senjata itu dilancarkan semasa satu latihan sekitar 8.10 pagi daripada sebuah kapal peluru berpandu yang berlabuh di pangkalan tentera laut di bandar Tsoying.
Siasatan awal menunjukkan peluru berpandu itu dilancarkan secara tidak sengaja kerana kesilapan manusia.
China menganggap Taiwan sebagai wilayah yang memisahkan diri, dan perlu dipertahankan, bahkan jika perlu menggunakan kekerasan. China saat ini dikhabarkan mempunyai beratus-ratus peluru berpandu yang mengarah ke wilayah Taiwan dan siap ditembak setiap saat.
– BERITAMediacorp/ru