Friday, July 1, 2016

Wanita lahirkan bayi dari embrio yang dibekukan sejak 18 tahun lalu

Embrio beku Huang Qiong disimpan di Shanghai pada 1998 sebelum dia mengambil keputusan untuk hamil lagi tahun lalu. – AGENSI

BEIJING 1 Julai – Seorang wanita China selamat melahirkan seorang bayi perempuan dengan menggunakan embrio beku yang disimpan sejak 18 tahun lalu, minggu ini.

Mail Online memetik laporan People’s Daily Online, bayi perempuan yang masih belum dinamakan itu dilahirkan pada 27 Jun lalu di wilayah Jiangsu dan mempunyai berat 3.2 kilogram.

Menurut laporan itu, kelahiran bayi tersebut memecahkan rekod China bagi ‘bayi paling tua’ apabila ibunya hamil dengan embrio beku paling lama disimpan.

Ibu bayi itu, Huang Qiong, 45, memutuskan untuk membekukan embrionya pada 1998 selepas dia mengalami masalah untuk mengandung pada usia 27 tahun.

Qiong pernah menjalani tiga pemindahan embrio, namun semuanya gagal sebelum dia memutuskan untuk menghentikan rawatan pembenihan in vitro (IVF) dan memberi tumpuan pada kerja.

Bagaimanapun tahun lalu, seorang daripada rakannya yang mendapat rawatan di Hospital Universiti Fudan di Shanghai hamil anak kembar, mendorongnya untuk mengandung semula.

Dia memulakan rawatan IVF pada awal tahun lalu menggunakan embrio yang dibekukan dalam cecair nitrogen pada suhu -196 darjah Celsius.

Pada November lalu, Qiong mendapat berita gembira apabila disahkan hamil dan berjaya melahirkan bayi perempuan itu di tempat kelahirannya di Jiangsu.

Kelahiran bayi perempuan itu memecahkan rekod yang dipegang seorang ibu dari Guangzhou yang hamil menerusi embrio yang dibekukan selama 12 tahun.

Sementara itu, Biro Kesihatan Shanghai memaklumkan, embrio manusia boleh dibekukan sehingga lima tahun ketika sebuah hospital di Shanghai berjanji untuk membekukan embrio selama mungkin yang dimahukan ibu bapa selagi mereka tidak menandatangani perjanjian untuk menghentikan rawatan berkenaan.

– See more at: http://ift.tt/299LQpJ