Sunday, November 6, 2016

5 lelaki Islam ditahan beli nombor ekor gelap

Pegawai dan anggota Penguat kuasa JHEAT memeriksa sebuah premis dipercayai menjalankan perniagaan nombor haram di bandar Jertih.

JERTIH – Lima lelaki tidak sempat larikan diri selepas dicekup anggota Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam serbuan di dua premis yang dipercayai menjual nombor ekor haram di bandar ini, minggu lepas.

Pegawai Agama Daerah, Khairul Azizi Idris berkata, dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu, empat lelaki diberkas di kedai makanan haiwan dan seorang di kedai runcit yang terletak tidak jauh antara satu sama lain.

“Mereka berada dalam premis tersebut dan dipercayai terlibat dalam urusan membeli nombor ekor haram di premis tersebut yang beroperasi secara sulit.

“Kesemua mereka berusia 20 hingga 50-an ditahan dibawa ke Pejabat Agama Besut dan dibebaskan dengan jaminan bon sementara menunggu tarikh pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah Besut,” katanya.

Operasi khas perjudian haram disertai 40 pegawai dan anggota Penguat kuasa Ibu Pejabat JHEAT dibantu anggota Penguat kuasa Agama Pejabat Agama Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut.

Menurut Khairul Azizi, serbuan di dua premis tersebut dibuat hasil risikan dan pemantauan JHEAT sebelum ini setelah mendapat maklumat kegiatan penjualan nombor ekor haram.

“Seperti premis yang pernah diserbu sebelum ini, modus operandi peniaga nombor ekor haram ini adalah berselindung di sebalik perniagaan lain yang mereka jalankan menyebabkan usaha mengesan mereka berdepan sedikit kesulitan,” katanya.

Menurutnya, sejumlah wang tunai dan bahan bukti lain turut dirampas oleh anggota terbabit.

“Mereka akan didakwa di bawah 22(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

“Orang Islam yang didapati berjudi atau berada di rumah judi boleh didakwa di bawah seksyen tersebut,” katanya.

Katanya, pemantauan dan operasi berterusan akan dijalankan bagi memastikan tidak ada umat Islam yang terbabit dengan aktiviti yang dilarang agama itu.

http://ift.tt/2f8Fg8z