Monday, November 7, 2016

‘Sikap Lunak Umno Sebenarnya Pecahkan Pas’

KOTA BHARU – Pas Kota Bharu menyifatkan kaedah politik lunak yang digunakan BN berjaya mewujudkan dua aliran pemikiran di dalam Pas.

Pemangku Ketuanya, Dr Rosli Allani berkata, satu pihak merasakan Umno jujur membantu Pas manakala satu kumpulan yang lain melihat ia sebagai tipu daya licik ketika mana BN menghadapi saat yang sukar.

Sebagaimana kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau berkata, Umno adalah punca sebenar yang menyebabkan Pas berpecah.

“Janji manis dari pemimpin Umno khususnya Perdana Menteri termasuk memberi laluan untuk ahli parlimen Marang mengemukakan cadangan pindaan Akta 355 adalah sebahagian punca selain daripada pengiktirafan tokoh dan kepimpinan Pas termasuk bekas Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din dan Presiden Pas sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa DAP menjadi punca perpecahan Pas.

Rosli berkata, situasi ini berlaku ketika BN sedang meniti hari yang sukar akibat penolakkan rakyat secara umum kepada Perdana Menteri yang dipalit dengan pelbagai isu sehingga gagal ditepis oleh pimpinannya sendiri.

Beliau turut menegaskan formula satu lawan satu perlu direalisasikan dalam PRU14 nanti bagi menafikan taktik pecah dan perintah yang digunakan oleh kerajaan sekaligus memberi tali hayat baru kepada Perdana Menteri.

“Tiada ada cara lain untuk proses ini direalisasikan melainkan pembangkang dapat duduk bersama bagi memastikan formula satu lawan satu dapat dijelmakan sebelum pilihan raya nanti,”katanya.-Sinar