Monday, November 7, 2016

‘Caj Tambahan Uber Mengikut Masa Tidak Masuk Akal’

KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan Uber Technologies Inc. mendakwa syarikat itu mengenakan caj tambahan mengikut masa tertentu pada kadar harga yang tidak masuk akal.

Tinjauan SuaraTV mendapati sumber yang namanya dirahsiakan itu berkata, sudah beberapa kali dikenakan caj tambahan yang harganya lebih mahal daripada harga meter yang ditawarkan oleh perkhidmatan teksi.

Katanya, sebelum ini, harga caj tambahan mengikut masa itu hanya naik sekali ganda namun selepas minggu kedua, kenaikan harga itu bertambah dari dua kali ganda ke empat kali ganda.

“Selalunya saya naik dari rumah di sekitar Bangsar ke Seri Kembangan purata harganya sekira RM21-25 namun selepas itu naik harga tambahan mengikut masa antara jam 8-10 pagi itu dinaikkan kepada RM35 ringgit. Paling terbaharu harganya RM65 selepas seminggu dari tarikh caj tambahan mengikut masa yang dikenakan kepada saya.

“Saya tidak berpuas hati bagaimana mereka kira? Mengapa sewenang-wenangnya kenaikan harga menjadi 4 kali ganda lebih mahal? Malah, ia lebih mahal daripada tambang teksi mengikut meter ke kawasan itu,”katanya kepada SuaraTV.

Katanya, sekiranya perkara ini berlarutan, tidak mustahil selepas ini perkhidmatan Uber tidak lagi mendapat permintaan daripada orang ramai.

Tambahnya, kesemua pelanggan Uber sudah pasti akan beralih semula menggunakan perkhidmatan teksi bermeter sedia ada.

Uber merupakan perantara pembekal taxi premium yang menggunakan program khusus tempahan taxi yang menghubungkan pelanggan dengan pemandu Uber taxi, ia boleh diakses melalui telefon pintar dan komputer yang disambungkan ke rangkaian internet.-SuaraTV