Sunday, November 6, 2016

Sah!!! Keahlian Pribumi Tidak Sampai 15,000 Buatkan Syed Saddiq Senyap

Pada 4 Oktober lalu juara debat merangkap ayam kokok Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Abdul Rahman telah membuat kenyataan bahawa dia akan mengumumkan jumlah keahlian parti Pribumi dalam masa 2 minggu lagi (dari tarikh berkenaan).

Kebetulan portal Malaysiakini melaporkan pengesahan pengumuman itu akan dibuat pada hari Selasa. Termasuk esok (Selasa), sudah berapa Selasa kita lalui tanpa mendapat khabar berita berkenaan jumlah keahlian Pribumi.

Sebaliknya, Syed Sadiq yang masih belum mengumumkan keahlian Pribumi itu masih sempat pergi ke Geneva untuk menjadi ahli panel jemputan dan menjadi jurucakap pihak mana entah untuk bercerita berkenaan korupsi di Malaysia.

Tidak pasti, apa yang diceritakan pada pentas dunia berkenaan oleh orang muda, yang masih mentah dan tidak mempunyai pengalaman serta pengetahuannya yang amat terhad.

Mungkin dia hanya mampu bercerita dari sudut persepsi sahaja memandangkan umur politiknya yang amat sedikit.

Mungkin juga, dia dipilih ke persidangan itu kerana Syed Saddiq tidak mempunyai pengalaman melihat bagaimana korupsi berlaku ketika zaman pemerintahan idolanya dulu.

Jadi apa-apa perkara yang diketahuinya mengenai korupsi hanyalah dari “favorable” kepada pihak mana yang disokongnya.

Selain itu, ketika kita sedang menunggu pengumuman mengenai keahlian Pribumi, tiba-tiba Syed Saddiq yang baru pulang dari luar negara, sempat menulis surat terbuka kepada Sultan Johor berhubung titah baginda mengenai demonstrasi.

Lain yang kita tunggu, lain yang kita dapat. Mungkin Syed Saddiq tidak dididik dengan cara yang betul untuk menegur Uli Amri kerana kepakarannya terhad kepada berdebat sahaja dan bukan berkenaan adat.

Agaknya Khairy Jamaluddin tidak khilaf ketika menulis di tweetnya bahawa Syed Saddiq hanya #emptycans atau tin Kosong. Kenapa agaknya begitu sukar untuk Parti Pribumi mengumumkan jumlah keahliannya?

Adakah kerana jumlah yang digembar-gembur tidak dapat dicapai? Atau kerana perang dalaman telah mengakibatkan jumlah keahlian sudah bertukar disebabkan ramai yang menarik diri seperti yang terjadi di Terengganu?

Mungkin juga kerana jumlah awal yang diuar-uarkan itu termasuk ahli PERKASA yang dikira sebagai jumlah borong dan pukal tetapi kebanyakan dari mereka enggan mencium DAP?

Kita boleh lihat bagaimana PERKASA sudah diperkosa dengan penukaran kiblat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Umum mengetahui PERKASA adalah pencium Tun Mahathir lalu apabila bekas Perdana Menteri itu menukar kiblatnya, maka ramai ahli PERKASA yang turut tersepit.

Mereka berdiam diri seolah-olah PERKASA sudah dibubarkan kerana Tun Mahathir hari ini bukanlah sama dengan Tun Mahathir yang PERKASA banggakan satu waktu dulu.

Apa pun janji harus ditepati, bukannya `dicapati’. Jika sudah berjanji, maka silalah tepati walaupun sudah terlambat. Jangan tunjukkan kepada ramai bahawa Pribumi sudah mainkan rakyat sebelum bertanding dan miliki kuasa.

Sila umumkan jumlah keahlian seperti dijanjikan, jika tidak mampu, sila mohon maaf kepada rakyat yang dijanjikan. Berapa lagi Selasa kita perlu tunggu.

Tulisan
Beruang Biru
BB122, Isnin
7 November 2016