Sunday, November 6, 2016

Awie Akui Sukar Pijak Lantai, Terus Aktif

KUALA LUMPUR – “Memang sekarang saya masih lagi sakit di bahagian badan dan selalu juga demam. Usaha untuk pulih terus dibuat, termasuklah melibatkan perubatan dengan menggunakan kaedah rawatan Islam,” jelas vokalis Wings, Awie.

Meskipun mendakwa dirinya kurang sihat kerana masalah penyakit misteri, Awie bagaimanapun cuba ‘menyisihkan’ segala masalah peribadinya apabila bercakap soal kerja.

Malah menurut Awie, keadaan kesihatan yang tidak menentu langsung tidak memberi kesan kepada untuk terus aktif.

Bulan lalu Awie memberitahu dia diserang sakit kaki kronik sehinggakan sukar untuk memijak lantai dan terpaksa bertongkat.

Biarpun selepas menjalani ujian darah, doktor mengesahkan dia tidak mengalami sebarang penyakit. Awie juga bebas daripada gout, meskipun pada awalnya dia berprasangka mengalami masalah itu dan terpaksa menelan ubat tahan sakit selama sebulan.

Awie sebelum ini sudah banyak kali memberitahu yang dia diserang penyakit misteri dan ketika ditemui baru-baru ini, sekali lagi dia mengakui kesihatan diri belum benar-benar pulih.

Awie tidak terkesan dengan perkara tersebut apatah lagi bakal mengadakan dua konsert utama pada hujung tahun ini.

“Ini bukan kali pertama saya diserang penyakit misteri. Sebelum ini pun sudah beberapa kali tetapi saya tetap diberi kekuatan untuk melakukan persembahan.
“Bila sudah banyak kali kena, orang kata ‘alah bisa tegal biasa.’ Memang sakit, tetapi saya yakin setiap penyakit ada penawarnya.
“Jadi tidak ada apa yang perlu saya risaukan sebaliknya perlu menjaga stamina untuk memberi yang terbaik di pentas persembahan,” jelasnya, petik Utusan.
Bercerita mengenai konsertnya di Hard Rock Cafe pada 8 November ini, ia bersempena dengan ulang tahun ke-25 Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.
Hampir sepuluh tahun tidak mengadakan persembahan di sana, jemputan itu satu penghormatan kepada Wings sebagai kumpulan rock yang cukup disegani dalam industri hiburan negara.
Perjalanan persembahan berlangsung selama sejam setengah dan mereka akan menyampaikan lagu-lagu popular Wings sahaja.
Tidak ada jemputan artis lain sebaliknya fokus khas diberikan kepada peminat-peminat Wings. 600 keping tiket sudah mula dijual dan boleh didapati di kaunter Hard Rock Cafe dengan harga berjumlah RM80.
Wings juga bakal melakukan konsert besar di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhan mereka.