Thursday, November 3, 2016

3 komando cedera terkena letupan bahan kimia di kem Gemas

GEMAS: Tiga anggota tentera melecur termasuk seorang parah akibat terkena letupan bahan kimia ketika mengikuti kursus bahan letupan di Kem Syed Sirajuddin di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari, mereka yang cedera adalah dari unit 22 Komando (22KDO) iaitu Lans Koperal Mohd Adha Hadli, Lans Koperal Mohd Helmi Mat Desa dan Lans Koperal Anuar Abdullah.

Sumber berkata, mereka menerima rawatan awal di Hospital Tentera Darat di kem itu dan kemudian dipindahkan ke Hospital Segamat, Johor, kira-kira jam 3.20 petang.

Katanya, Mohd Adha parah akibat melecur kira-kira 32 peratus dan diberikan bantuan pernafasan, manakala Mohd Helmi dan Anuar, masing-masing melecur kira-kira 27 dan 10 peratus.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, mengesahkan kejadian itu berlaku tetapi tidak dapat memberi maklumat lanjut kerana polis belum menerima laporan kejadian berkenaan.

“Masih belum ada report…tapi memang berlaku,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis, ketika dihubungi pula memaklumkan pihaknya juga tidak menerima laporan mengenai kejadian itu.

http://ift.tt/2fkkiR1