Sunday, November 6, 2016

Pemuda UMNO Cabar Muhyiddin, Mukhriz Sokong Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kedah mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menyokong surat terbuka Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak akan berani menulis surat itu tanpa mendapat restu daripada presiden dan naib presiden partinya.

“Bagi Pemuda Kedah, Syed Saddiq adalah Ketua Pemuda PPBM dan sudah semestinya tulisannya kepada Sultan Johor mendapat restu dan kebenaran daripada pucuk pimpinan parti mereka sendiri.

“Kita turut mendesak agar tindakan segera diambil terhadap Syed Saddiq yang secara jelas tidak menghormati institusi Kesultanan Melayu Johor.

“Kita juga mengingatkan Syed Saddiq bahawa statusnya sebagai pendebat terbaik Asia bukanlah lesen besar untuknya menulis apa sahaja dia hendak,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.

Shaiful mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa, hak untuk berdemonstrasi secara aman adalah hak setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan selain diiktiraf udang-undang antarabangsa seperti Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik.

Ia reaksi susulan titah Sultan Johor pada Perhimpunan Bangsa Johor di Pasir Gudang yang menegaskan tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menganjurkan sebarang bentuk demonstrasi di negeri ini.

Dalam pada itu, Shaiful juga yakin pesanan Sultan Johor adalah untuk kebaikan semua dan pesanan itu seharusnya diterima baik semua pihak.

“Kita juga yakin demonstrasi jalanan seumpama Bersih yang bertindak mahu menggulingkan kerajaan di luar kerangka pilihanraya adalah kotor dan tidak seharusnya menjadi ikutan.

“Kita harap Syed Saddiq sentiasa ingat dia masih mempunyai presiden dan timbalan presiden yang perlu dirujuk sebelum membuat apa-apa tindakan,” tegasnya.

Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan memanggil Syed Saddiq untuk diambil keterangan dalam siasatan berhubung kandungan surat terbukanya kepada Sultan Johor. Jelas Khalid, siasatan dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.