Monday, November 7, 2016

Kenapa Selangor Bayar 10 Kali Ganda Untuk Beli SPLASH?

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus didesak untuk memberi penjelasan terhadap tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd.(SPLASH) yang meningkat lebih 10 kali ganda.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo ketika dihubungi berkata, tawaran awal oleh bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2009 RM250.6 juta meningkat kepada RM2.975 bilion.

“Jumlah pengambil alihan itu cukup besar dan kita percaya rakyat Selangor inginkan penjelasan. Jangan pula mengambil sikap sepertimana isu-isu yang sebelum ini dan beliau perlu tampil ke depan menjawab secara ‘gentleman’,” katanya.

Ujarnya, angka berkenaan bukannya rekaan namun didedahkan sendiri oleh Khalid didalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mendesak penjelasan Menteri Besar namun tidak diendahkan Azmin.

“Dakwaan berkenaan bukanlah daripada orang biasa apatah lagi daripada pimpinan UMNO atau parti-parti yang lain sebaliknya datang daripada bekas menteri besar Selangor yang digugurkan sejurus ‘Langkah Kajang’ yang menimbulkan pelbagai konflik dalam parti.

“Kita bukan mahu menambah minyak ke dalam api dan juga bukanlah mahu mengambil kesempatan sebaliknya bersama-sama dengan rakyat negeri ini yang mahukan dakwaan berkenaan diberikan penjelasan sejelas-jelasnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan Khalid berhubung isu berkenaan.

Ujarnya, peningkatan 10 kali ganda pembelian SPLASH berbanding tawaran awal sebelum ini menyentuh soal tadbir urus dan integriti kerajaan negeri serta melibatkan penggunaan wang rakyat.

“Ini merupakan isu integriti yang harus dilihat secara serius kerana ia dikaitkan dengan penggunaan duit rakyat.

“Kenyataan Tan Sri Khalid merupakan satu kenyataan yang mempunyai fakta yang perlu dijawab oleh kepimpinan kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Kegagalan kerajaan negeri mendapatkan kata putus dalam rundingan membeli SPLASH melewatkan lagi proses pengambilalihan konsesi air negeri lantas melambatkan proses pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Sebelum digulingkan dari jawatan Menteri Besar, Khalid berjaya meletakkan tiga syarikat konsesi air negeri dibawah kuasa kerajaan negeri dengan membeli Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) dengan pampasan RM2.47 bilion.

Sementara Bekalan Syarikat Air Selangor (Syabas) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) masing-masing menerima pampasan RM3.11 bilion da RM990 juta.