Sunday, November 6, 2016

Padah ‘Simpan’ Minyak Masak Ratusan Kilogram Minyak Masak

SHAH ALAM – Seorang pemilik pasar mini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyimpan barangan kawalan iaitu ratusan kilogram (kg) minyak masak di premis yang tidak dilesenkan di Gombak, bulan lalu.

Tertuduh, M K Theivendran, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyimpan 14 kotak minyak masak sawit paket satu kg dan 12 botol satu kg minyak sama di premis yang tidak dibenarkan untuk penyimpanan barangan itu di premis miliknya di Taman Selayang Jaya, Batu Caves, jam 10.25 pagi 25 Oktober lalu.

Justeru, Theivendran melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, A Karthiyayini manakala tertuduh diwakili peguam bela Siti Anis Che Wahab.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Disember depan. – HMetro