Thursday, November 3, 2016

KWSP wujudkan Akaun Emas

KUALA LUMPUR, 3 November 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa bermula 1 Januari 2017, Akaun Emas akan diwujudkan sebagai simpanan persaraan kedua untuk ahli berumur 55 tahun dan ke atas. Tiada perubahan pada Pengeluaran Umur 55 Tahun semasa.

Akaun Emas ini merupakan salah satu inisiatif di bawah penambahbaikan skim KWSP yang terkandung di dalam Akta KWSP 1991 di mana semua caruman baru yang diterima selepas umur 55 tahun akan secara automatik dimasukkan ke dalam Akaun Emas dan akan hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 60 tahun. Ini bagi memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli apabila mencapai umur 60 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Semasa Rundingan Ahli yang telah dijalankan pada April tahun lepas, kami telah mencadangkan beberapa inisiatif penambahbaikan ke atas skim semasa, dan yang paling utama adalah mewujudkan Akaun Emas.

“Memandangkan purata rakyat Malaysia kini bekerja selepas umur 55 tahun dan umur persaraan minimum 60 tahun, KWSP telah memutuskan untuk menyediakan dana persaraan kedua, iaitu Akaun Emas, untuk memelihara simpanan ahli dari umur 55 ke 60 tahun. Penambahan simpanan dalam jangkamasa lima tahun ini akan memberi manfaat kepada ahli apabila mereka bersara kelak.”

KWSP memberi jaminan kepada ahli bahawa Pengeluaran Umur 55 Tahun adalah kekal dan ahli berumur 55 tahun ke atas masih boleh membuat pengeluaran ke atas baki simpanan. Akaun Emas tidak akan menjejaskan skim semasa di mana ahli diberi pilihan untuk membuat pengeluaran penuh atau sebahagian apabila mencapai umur 55 tahun. Simpanan ahli juga boleh terus menerima dividen untuk Akaun Emas dan baki simpanan dalam Akaun 55.

Selain inisiatif Akaun Emas dan Akaun 55, KWSP juga melanjutkan had pengkreditan dividen dari umur 75 tahun sehingga 100 tahun. Ini akan memberi manfaat kepada ahli yang ingin mengekalkan sebahagian simpanan mereka dengan KWSP serta mendapat faedah dari kesan berganda (compounding effect) melalui penerimaan dividen sehingga pengeluaran penuh dibuat.

Lanjutan keputusan Rundingan Ahli tahun lepas, sebanyak 94 peratus responden bersetuju agar KWSP mengekalkan Pengeluaran Umur 55 Tahun, dan caruman baru dari umur 55 hingga 60 disimpan sehingga umur 60 tahun dalam Akaun Emas. Rundingan tersebut juga menyaksikan 61 peratus responden bersetuju agar bayaran dividen dilanjutkan dari umur 75 ke 100 tahun.

Beberapa inisiatif lain juga diperkenalkan ke atas skim dan polisi KWSP seperti perubahan terhadap polisi penamaan, peningkatan kuantum Simpanan Asas, pengeluaran pra-persaraan untuk ahli bukan warganegara dan penambahbaikan ke atas polisi pengurusan (sila lihat Lampiran 1). Kesemua inisiatif ini akan bermula pada 1 Januari 2017.

http://ift.tt/2feZjQE