Sunday, November 6, 2016

Bekas Mursyidul Am TIBAI Kata ‘Anwar Sudah Bersih’

KUALA LUMPUR – “Kita tutup buku lama,” itu reaksi bekas Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Zahid Md Arip menyatakan kerelaan bekerjasama dengan bekas Ketua Pembangkang itu untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zahid yang kini ahli Majlis Pimpinan Tertiggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menganggap Anwar kini sudah ‘bersih’ selepas dipenjarakan diatas kesalahan meliwat bekas pemantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan.

“Kita tutup buku lama, kita buka buku baharu kerana Anwar berada di dalam, saya berada di luar. Kita menentang Anwar dari segi politik, ada perangai dan tingkah laku dia yang saya tidak setuju.

“Kita hanya lawan politik sahaja. Kini, apabila kita hendak bekerjasama, kita tidak tengok pada perbezaan, tetapi kita lihat pada persamaan,” katanya dipetik Free Malaysia Today (FMT).

TIBAI mula ditubuhkan pada April 2012 ekoran kekecewaannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kumpulan Cina namun membubarkannya pada Februari 2015 selepas Anwar dipenjarakan.

Sebulan kemudian beliau menubuhkan Tolak Individu Bernama Anwar Bin Ibrahim (TIBABI) sebagai anjakan daripadan TIBAI diatas alasan kes melibatkan Anwar masih belum selesai.

Kini, Zahid menyifatkan hubungannnya bersama Anwar sebagai sejarah lama dan sedia bekerjasama untuk menentang Barisan Nasional (BN).

“Parti pembangkang di dalam negara belum mempunyai track record menjahanamkan Najib. Mereka hanya melihat tingkah laku Najib dan Barisan Nasional. Peluang harus diberikan.

“Saya yakin mereka tidak akan mengulangi kesilapan Najib dan BN. Seharusnya, rakyat memberi peluang untuk mereka memperbetulkan kesilapan,” katanya. – Malaysian Digest