Thursday, November 3, 2016

PAS Nafi Sedia Kerjasama Dengan Pakatan Pembangkang PH

KUALA LUMPUR – PAS menolak tanggapan bahawa parti itu sedia berunding dengan semua parti pembangkang dalam memastikan satu lawan satu untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya Ketua Pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz menganggap, kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam diputar belit oleh pihak media.

Ujarnya kenyataan ‘jangan kacau rumah tangga kami’ sebagaimana disebut Hadi itu tidak merujuk kepada mana-mana pihak, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

“Sebagaimana Hadi kata semalam perbincangan PAS adalah dengan parti yang tidak kacau rumah tangga PAS. Yang media sebut akan ada kerjasama dgn PH itu adalah kenyataan media bukan daripada Hadi. Saya ikuti video itu semalam dan jawapan Hadi pendek sahaja dan beliau sebut bahawa jangan kacau rumah tangga.

“Itu merujuk kepada parti-parti yang tak kacau rumah tangga PAS. Jadi kita tahu siapa yg kacau dahulu. Apa yang Hadi sebut semalam itu bukan keputusan baru. Bukan pusingan-U bahkan keputusan lama bahawa PAS hanya berunding dengan parti-parti yang tak ada rekod buruk dengan PAS Dalam sejarah hubungan dalam Pakatan Rakyat dahulu,” jelasnya kepada pemberita ketika di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam Hadi memberi amaran ‘Jangan kacau dalam rumah kami,’ sekaligus membayangkan parti itu tidak akan berkompromi dalam isu agihan kerusi tradisi milik mereka.

Amaran itu disuarakan Hadi meskipun PAS ujarnya menyatakan kesediaan membuka pintu rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjayakan prinsip satu lawan satu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – AntaraPos