Monday, November 7, 2016

Putera Charles Serah Replika Al-Quran Dipercayai Wujud Era Khalifah Abu Bakar

DUBAI – Pewaris takhta Britain, Pu­tera Charles akan menye­rahkan replika digital helai­an al-Quran yang ditemui oleh Universiti Birmingham, da­lam lawatannya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

BBC melaporkan, salinan manuskrip al-Quran itu akan menjadi simbolik kepada hubungan budaya antara Britain dan UAE.

Helaian al-Quran asal dan mungkin yang tertua di dunia itu tersimpan di Universiti Birmingham sehingga kini.

Manuskrip tersebut, yang dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 1,370 tahun, telah diiktiraf sebagai penemuan terbesar.

Kitab itu yang mana ayat-ayat sucinya ditulis pada kulit biri-biri atau kambing, telah dipamerkan kepada umum di Birmingham.

Ini adalah pertama kali replika digital kitab tersebut akan dibawa keluar dari Britan dan dipamerkan pada acara-acara yang dianjurkan di negara ini.

Manuskrip al-Quran itu mula ditemukan sekitar 1920-an oleh seorang rakyat Iraq, Alphonse Mingana, yang mengembara ke serata Asia Barat.

Menurut Naib Canselor Universiti Birmingham, David Eastwood, al-Quran tersebut merupakan signifikan besar kepada kebudayaan dan pengajian akademi Islam.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yayasan Mohammed Rashid Al Maktoum, Jamal Huwaireb berkata, pihaknya percaya kitab yang ditemukan itu merupakan al-Quran pertama yang wujud ketika era pemerintahan khalifah pertama, Abu Bakar Al Siddiq, antara tahun 632 dan 634 Masihi.

“Saya secara peribadi memeriksa helaian kertas purba itu. Pada pendapat saya helaian ayat al-Quran tersebut ditulis di atas bahan khas dan dihasilkan untuk seseorang yang penting seperti khalifah,” katanya.