Sunday, November 6, 2016

Facebook Didakwa Gagal Sekat Isu Kaum

MUNICH – Pegawai pendakwa raya Jerman sedang menyiasat pe­ngasas Facebook, Mark Zuckerberg dan beberapa pegawai eksekutif firma itu berhubung dakwaan media sosial itu gagal mengeluarkan status berunsur perkauman.

Mail Online melaporkan, tindakan pendakwa raya Chan-jo Jun memfailkan aduan­nya kepada mahkamah di Munich dengan mendakwa syarikat itu melanggar undang-undang Jerman berkaitan ucapan kebencian dan menghasut.
Jurucakap kepada pejabat pendakwa raya Munich bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut tentang siasatan itu.

Jun memfailkan aduan kepada pendakwa raya di Bavaria pada September lalu dan menuntut Facebook mematuhi undang-undang antikebencian de­ngan memadam paparan berunsur perkauman.

Peraturan Facebook melarang sebarang bentuk aktiviti berbentuk buli, gangguan dan bahasa berunsur ancaman namun pengkritik mendakwa firma itu terlalu longgar dalam penguatkuasaan mereka.

Facebook didakwa gagal menghalang status berbaur perkauman dan ugutan khasnya semasa kebanjiran pelarian ke Eropah, tahun lalu.

Pendakwa raya di Hamburg pada awal tahun ini menolak aduan serupa oleh Jun atas sebab mahkamah daerah tidak mempunyai bidang kuasa kerana operasi Facebook berpangkalan di Ireland.

Atas permintaan Jun, Menteri Kehakiman Bavaria, Winfried Bausback berkata, pandangan oleh Hamburg adalah silap de­ngan undang-undang Jerman sebenarnya terpakai untuk beberapa kesalahan itu.

Facebook sementara itu menafikan firma berkenaan melanggar undang-undang Jerman dan menggiatkan usaha memerangi kenyataan berunsur kebencian atas talian.