Sunday, November 6, 2016

Isteri muda dipukul suami kerana tak hormat bapa mertua

REMBAU – Gara-gara salah faham tidak menghormati mentua, seorang isteri berusia 19 tahun trauma dipukul suaminya di rumah kakaknya sendiri di salah sebuah kampung tradisi di kawasan Chembong, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 10.20 malam pada 31 Oktober lalu, suami mangsa berusia pertengahan 20-an tiba-tiba naik berang kepada mangsa dan menuduh mangsa tidak menghormati bapanya.

Menurut sumber, mangsa menyatakan kepada suaminya akan meminta maaf kepada bapa mertua, namun si suami tetap tidak berpuas hati dan bertindak memukul mangsa.

“Si suami memukul, mencekik dan menumbuk muka mangsa dengan tangan sehingga mangsa mendapat kecederaan di kening sebelah kanan. Bahagian kening mangsa berdarah dan mangsa juga mengadu sakit di bahagian leher.

“Mujur kakak serta abang ipar mangsa berada di rumah dan membantu meleraikan pergaduhan. Ketika kejadian, suami mangsa berada dalam keadaan mabuk kerana meminum minuman keras,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sumber berkata, si suami kemudiannya pulang ke rumah keluarganya dan si isteri datang mencari suami di rumah mertua.

“Bagaimanapun, sebaik sampai di rumah, mangsa terkejut apabila suaminya keluar dari rumah memecahkan botol di longkang hadapan rumah dan terus mencalarkan dirinya sendiri.

“Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Chembong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

http://ift.tt/2fuBjtu