Sunday, November 6, 2016

Video Parodi : Jamal Anggap TMJ Bergurau

KUALA LUMPUR – Ketua Gerakan Merah V2, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail hanya bergurau sahaja mengenai video parodi yang tersebar dan menjadi viral di laman sosial, semalam.

Jamal berkata, sebagai seorang rakyat beliau memahami bahawa perkara itu sebagai gurauan dan dia menghormati respon yang diberikan oleh TMJ.

“Bagi saya TMJ saja bergurau. Sebagai seorang raja dengan siapa lagi baginda mahu bergurau sudah pasti dengan rakyat. TMJ seorang yang berjiwa rakyat. Dan saya mengucapkan Terima kasih kepada baginda kerana respon dengan persembahan silat Gerakan baju merah.

“Daulat Tuanku. Hidup TMJ. Yang buruk datangnya daripada BERSIH 1 BERSIH 2 BERSIH 3 BERSIH 4 Dan BERSIH 5 yang baik daripada Allah. Merah Merah Merah. Lawan tetap lawan hidup merah. TIDAK ADA KUNING TIDAK ADA MERAH,”tulisnya menerusi status di Facebooknya malam tadi.

Semalam, Tunku Ismail memuat naik video parodi di Facebook Johor Southern Tigers menunjukkan sekumpulan lelaki berbaju merah melakukan demonstrasi gerak langkah silat, sambil menggunakan kayu dan batu yang sering dilakukan pergerakan Baju Merah semasa protes.

Bagaimanapun, keterangan berhubung video yang dimuat naik memberi penjelasan bahawa Tunku Ismail tidak berpihak kepada baju merah atau baju kuning.

Terdapat pesanan atau status pada video tersebut iaitu “Saya berada bersama Bangsa Johor yang melambangkan perpaduan. Kerana perpaduan adalah ‘formula’ untuk negara ini bergerak ke hadapan, bukan keganasan dan kebencian.

“Senjata tidak membunuh manusia, manusia yang saling membunuh. Keganasan dan kebencian tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik. Kekal positif. Salam penuh kasih sayang.”-SuaraTV