Sunday, November 6, 2016

Pemimpin PAS Selar Tindakan PAN Politikkan Isu ‘Taklik Sebelum Nikah’

KOTA BHARU – Malu dituduh tidak tahu hukum, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud akhirnya menjelaskan salah faham berhubung ‘taklik nikah’ yang disebutnya ketika sesi perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, minggu lalu.

Katanya, pada hari itu beliau hendak menyebut ‘taklik sebelum beri surat nikah’, tetapi terkeluar ‘taklik sebelum nikah’.

Berikutan kesilapan itu, ujarnya, pihak tertentu terutama Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan mengambil sedutan itu dan viralkannya menerusi laman sosial bagi tujuan mengaibkannya.

Berucap pada ceramah penerangan isu semasa di Pasir Tumboh, dekat Kota Bharu, malam kelmarin, Mohd Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Meranti berkata, jika bercakap mengenai bab taklik nikah, budak sekolah rendah pun tahu.

“Bab taklik ni, budak sekolah rendah pun tahu (hukum) dan (PAN) tak perlu nak malukan saya hanya kerana saya tersasul atau tersilap sebut pada hari itu.

“Bab taklik juga orang lain tak payah nak lawan saya… orang lain sekali taklik (kahwin sekali), saya dua kali (lafaz) taklik (kahwin dua). Bukan saya tak tahu bab taklik ni. Saya tahu,” katanya yang disambut ketawa hadirin.

Minggu lalu, ketika perbahasan dan menjawab soalan dari Datuk Husam Musa (PAN-Salor), Mohd Nassuruddin tersasul menyebut ‘taklik sebelum nikah’, menyebabkan dewan gamat dan tidak ada pembetulan dibuat oleh beliau yang mungkin tidak perasan kesilapannya.

Beliau hanya menyedari kesilapan itu sehari kemudian setelah sedutan video pada sebutan itu menjadi viral dan menerima banyak panggilan daripada penyokongnya.

Berikutan kesilapan itu, Husam mencadangkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub supaya menggantung Exco itu dan mengenakan larangan daripada bertanding selama lima tahun.

Mohd Nassurudin kemudian menempelak Husam dengan bertanya, adakah Husam ketika dalam Pas dahulu sudah lupa bai’ah atau sumpah taklik yang dilafazkannya di hadapan (Allahyarham) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu?

“Masa kita bai’ah, tak terfikir pun nak dipecat atau digantung kepada sesiapa yang keluar parti. Ini (Husam) bertanding Naib Presiden Pas dan calon ADUN Salor.

“Dia sumpah depan tok guru, Wallahi Wabillahi Watallahi… kalau lompat parti, kena letak jawatan, jatuh talak ke atas isteri dengan tiga talak. (Sumpah) itu jadi (sah),” katanya mengingatkan Husam dengan tindakannya keluar dari Pas. – MalaysiaGazette