Monday, November 7, 2016

Demo Anti-PAS Di Konvensyen HARAPAN Sabtu Ini?

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menafikan terlibat dalam demonstrasi membantah “penyertaan” PAS bersama Pakatan Harapan.

“Saya tidak tahu menahu berhubung perkara itu dan pihak AMANAH tiada kaitan sama-sekali dengan himpunan tersebut.

“Jangan ada pihak cuba menangguk di air keruh,” kata setiausaha agungnya Mohd Anuar Tahir.

Berdasarkan undangan yang mula beredar di kumpulan WhatsApp ahli politik dan wartawan itu, demonstrasi anti-PAS itu akan diadakan pada 7.45 pagi di Ideal Convention Centre (IDCC) shah Alam, Selangor.

Ia dikatakan dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka “Sekretariat NGO pro-PH”.

Konvensyen HARAPAN turut berlangsung di tempat sama pada hari itu.

Ia mencuri tumpuan kerana dikatakan bakal memperlihatkan barisan kepimpinan pembangkang untuk berdepan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Serpihan Umno, Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baru ditubuhkan dan PAS turut diundang – dilihat bagi mencapai kata sepakat ke arah mewujudkan pertembungan satu lawan satu dengan BN.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dalam kumpulan WhatsApp beliau bersama wartawan turut menafikan perkara itu.

“Tak tahu. Tak terlibat. Tak ada kena mengena dengan AMANAH.

“Anggota-anggota AMANAH dinasihati supaya tidak hadir,” katanya ketika menjawab soalan pemberita.-Malaysiakini