Monday, November 7, 2016

Tokoh Ulama Tertua Kelantan, Ayah Mat Lundang Paku Meninggal Dunia

KOTA BHARU – Ulama tersohor dan tertua di Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Mamat Awang Noh atau mesra dengan panggilan Ayah Mat Lundang Paku meninggal dunia hari ini.

Allahyarham yang merupakan seorang tokoh agama cukup disegani di seluruh negara ini selamat dikebumikan di Madrasah Lundang Paku, Paya Zaman, Dewan Betta di sini jam 10.30 pagi bersebelahan dengan pusara gurunya, Allahyarham Tok Ayah Said yang meninggal pada tahun 1984.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Madrasah Lundang Paku sebelum dikebumikan itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4.45 pagi di sisi cucu tirinya dan murid-murid lain di madrasah yang diasasnya sejak 40 tahun itu akibat sakit tua.

Anak muridnya, Mohd. Idris Haron,47, berkata, Allahyarham meninggal dunia ketika sedang tidur sebelum disedari oleh cucu tirinya.

‘‘Allahyarham semasa hayatnya merupakan seorang insan yang cukup gigih mendalami ilmu agama selain mempunyai anak murid yang ramai di seluruh negara.

‘‘Pemergian Allahyarham amat dirasai kerana Ayah Mat ba­nyak menghabiskan masanya dengan me­ngajar agama,” petik Utusan.

Terdahulu, Ayah Mat Lundang Paku berusia 127 tahun ini me­rupakan di antara ulama tertua di Kelantan dan difahamkan sewaktu zaman mudanya, Allahyarham banyak menuntut ilmu agama dan telah berulang alik ke Mekah sebanyak 12 kali.

Allahyarham juga dikatakan merupakan anak murid dan sahabat Tok Kenali, juga seorang tokoh ulama tersohor di Kelantan.