Sunday, November 6, 2016

Calon SPM Di Pulau Pinang Terpaksa Redah Banjir

GEORGETOWN – Lebih 20 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di sini terpaksa dibawa menaiki bot untuk mengambil peperiksaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Timur Laut, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Maxwell Panchai berkata, kesemua mereka dihantar seawal jam 6.45 pagi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah Munshi.

Menurutnya, pihaknya mengutamakan calon SPM sebelum bertindak menghantar beberapa pelajar lain.

“Kami sudah memantau paras air di sungai berdekatan bermula jam 1 pagi ketika hujan mula lebat.

“Air mula naik pada jam 2.30 pagi dan terus mencecah paras pinggang lelaki dewasa pada jam 7 pagi,” katanya.

Beliau berkata, selain APM, turut sama terlibat membantu pelajar ialah pasukan bomba dan juga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan P.Ramlee.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azman berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak menyelamatkan dua pelajar sekolah yang terperangkap akibat banjir berkenaan.

Menurutnya, ketinggian air pada paras 1.2 meter menyebabkan anggota bomba menggunakan bot.

“Setelah membuat pemantauan di sekitar kawasan berdekatan didapati terdapat ramai penduduk yang berada di rumah masing-masing.

“Ketua operasi telah mengarahkan anggota membuat pemantauan serta kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam banjir dan mengutamakan membawa pelajar sekolah bagi mengambil peperiksaan SPM.

“Keadaan semasa adalah terkawal, namun pemantauan masih dilakukan,” katanya. – Sinar