Sunday, November 6, 2016

Sokongan Trump Meningkat

WASHINGTON – Laporan undian pilihan raya Amerika Syarikat yang menunjukkan sokongan terhadap Donald Trump semakin meningkat, telah memaksa Hillary Clinton menumpukan perhatiannya dengan mengadakan perhimpunan di negeri-ne­geri yang disifatkan boleh ‘menang mudah’ dan bukan lagi merayu kepada pengundi yang berada ‘di atas pagar’.

Menurut laporan wakil portal BBC, pasukan kedua-dua calon itu kini memberi tumpuan kepada usaha meraih lebih ramai penyokong ketika seramai 37 juta telah mengundi awal, setakat ini.

Menurut laporan RealPClearPolitics, pada masa ini, Trump telah mendahului Hillary di Ohio manakala di Pennsylvania, Hillary pula hanya menang tipis terhadap Trump.

Berdasarkan undian kebangsaan, Trump mengukuhkan ke­dudukan berbanding Hillary sejak minggu lalu malah momentum itu juga telah membantunya di beberapa buah negeri yang sokongannya berada ‘di atas pagar’.

Terdahulu Hillary menamatkan kempennya di Cleveland, Ohio melalui konsert yang di­sertai oleh penyanyi Beyonce dan suaminya, penyanyi Jay Z.

“Kerja kita masih belum selesai banyak halangan yang perlu diatasi tetapi kita boleh melakukannya dengan bantuan anda,” kata Hillary kepada para peserta perhimpunan.

Jay Z pula mengumumkan sokongannya kepada Hillary walaupun mengakui tidak membenci Trump tetapi penyanyi itu menyifatkan kenyataan calon presiden parti Republikan itu cenderung untuk menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat AS.

“Trump tidak boleh menjadi presiden saya dan presiden kita,” katanya.

Konsert percuma itu merupakan sebahagian daripada kempen calon presiden parti Demokrat yang bertujuan menggalakkan lebih ramai penduduk Afrika-Amerika untuk keluar mengundi.

Sementara itu, Trump memberitahu penyokongnya di New Hampshire bahawa pencabarnya, Hillary, mahu menambah sehingga 550 peratus jumlah pelarian Syria di AS.

“Rancangan Hillary ini membawa petanda bahawa generasi keganasan, pelampau dan radikal akan tersebar dalam sekolah dan masyarakat kita,” kata Trump.

Dalam pada itu, seorang hakim persekutuan memberi amaran kepada pasukan kempen Trump dan pengurus Republikan, Roger Stone supaya tidak melaksanakan sebarang aktiviti ‘ugutan pengundi’ di Ohio.

Keputusan itu dibuat selepas parti Demokrat mengemukakan saman terhadap pasukan kempen parti Republikan bagi menuntut perintah halangan awal atau usaha menemubual pengundi atau had keselamatan pusat pengundian.

Hakim James Gwin dari utara Ohio memutuskan sedemikian selepas pendengaran kes semalam yang kebanyakannya memihak kepada parti Demokrat. – Agensi