Sunday, November 6, 2016

Tangani Segera Isu Bekalan Minyak Masak

SHAH ALAM – Kekurangan bekalan minyak masak di pasaran akibat pembelian panik dan penyimpanan stok perlu ditangani secara holistik agar golongan sasar tidak terbeban.

Pensyarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari berkata, terdapat beberapa cadangan mudah yang boleh dipraktikkan oleh agensi terlibat untuk meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan kekurangan bekalan minyak masak.

Menurutnya, pertama kerajaan perlu memanfaatkan kemudahan dan teknologi komunikasi sedia ada.

“Pemantauan oleh penguat kuasa di setiap pelosok tempat di negara ini adalah mustahil. Tetapi, kerajaan boleh mewujudkan aplikasi khusus yang boleh digunakan oleh setiap rakyat untuk menyampaikan maklumat berkenaan dengan harga dan bekalan di pasaran.

“Melalui aplikasi ini, setiap daripada rakyat Malaysia akan menjadi ‘duta’ kepada pihak penguat kuasa,” katanya.

Menurutnya, penubuhan persatuan pengguna setempat perlu digalakkan dan diperbanyakkan.

“Kajian mendapati kewujudan persatuan pengguna setempat lebih efektif di dalam mengutarakan masalah kepenggunaan,” katanya.

Mohd Yusof turut mencadangkan agar peranan institusi masyarakat yang melibatkan ketua kampung dan penghulu mukim diperkukuhkan.

“Inilah masa untuk mereka memberi bantuan berimpak tinggi kepada masyarakat setempat dan bukannya sekadar melakukan tugasan rutin seperti menandatangani borang,” katanya.-Sinar