Sunday, November 6, 2016

Bawa pisau ketika buat repot di balai polis, lelaki dipenjara 5 tahun

Faizamanudrshah Mat Yazid

KOTA BHARU 6 Nov. – Gara-gara membawa sebilah pisau ketika ingin membuat laporan di balai polis pada akhir bulan lalu, seorang buruh dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Nazri Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Faizamanudrshah Mat Yazid, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sebilah pisau bersarung dan berhulu kayu berukuran 20 sentimeter di hadapan Balai Polis Laloh, Kuala Krai pada pukul 11.15 pagi, 31 Oktober 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fahrul Razi Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama seorang lagi rakannya datang ke balai polis untuk membuat laporan polis berhubung tindakan abang kandungnya yang hendak membelasahnya.

Ketika anggota polis bertanyakan beberapa soalan terhadap kedua-dua suspek, salah seorang daripada mereka dikatakan telah memberikan jawapan yang mencurigakan.

Tertuduh tiba-tiba bertindak secara agresif dengan merampas kad pengenalannya daripada polis dan cuba melarikan diri dengan merempuh pintu kaca balai polis hingga pecah.

Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri, namun anggota polis berjaya memberkas Faizamanudrshah dan hasil pemeriksaan, sebilah pisau ditemukan dalam poket sebelah kiri seluar yang dipakainya.

– See more at: http://ift.tt/2fJrUBA